SOALAN : SAYA BEKERJA MAKAN GAJI.
APAKAH HUKUMNYA JIKA PELANGGAN SAYA MEMBERI WANG KERANA DIA BERASA
GEMBIRA DENGAN KERJA-KERJA SAYA YANG MEMUASKAN HATINYA? ERTINYA, WANG ITU
DIBERI SETELAH SAYA SELESAI MELAKUKAN TUGAS-TUGAS YANG BERKAITAN
DENGANNYA. DIA JUGA MENJELASKAN BAHAWA WANG ITU DIBERI DENGAN HATI YANG
IKHLAS, UNTUK ANAK-ANAK SAYA YANG MEMANG DIKENALINYA.
|
|
|
Jawapan : Sebenarnya,
soalan seperti ini hanya mampu dijawab dengan tepat jika maklumat dapat
diperolehi sepenuhnya iaitu dari sudut : jenis kerja, jawatan, faedah dari
hubungan pekerja dan pelanggan pada masa hadapan dan lain-lain, setelah
mendapat semua maklumat yang lengkap, barulah jawapan kami boleh diguna
pakai, ertinya, ia perlu dirawat secara “case by case’.
|
Perlu diketahui, disana terdapat asas
yang mengharamkan rasuah dan jenis-jenisnya. Antara jenis rasuah adalah
‘pemberian ganjaran’ sama ada atas nama ‘hadiah’, ‘upah tambahan’ dan
sebagainya kepada orang yang mempunyai kuasa atau penjawat jawatan tertentu
dengan tujuan bagi membolehkannya menjatuhkan hukuman (jika hakim) seperti
yang dikehendakinya, atau menyelesaikan sesuatu kerja atau mendapatkan
sesuatu kontrak atau melambatkan sesuatu tugas yang sepatutnya boleh
disiapkan.
Tujuan tegahan ini di dalam Islam
adalah kerana ia jalan kepada berlaku rasuah yang terang , kerana hati akan
dieasak untuk meraih faedah harta yang lebih besar dari itu. (Naylul Awtar,
As-Syawkani, 8/622, cet Dar al-Khayr; Al-Halal wal Haram Fil Islam,
Al-Qaradawi, hlm 298 , cet Al-Maktab Al-Islami -dengan tambahan)
|
Dalil-dalil yang perlu di sematkan
dengan kemas di minda dan hati semua penjawat jawatan yang boleh memberi
“sesuatu” kepada orang ramai adalah seperti berikut :-
a) Nabi bersabda : “ Barangsiapa yang
telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya
sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah
ghulul (pengkhianatan) ” ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ;
Ma’alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)
b) Nabi bersabda kepada seorang
gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad,maka apabila ia
selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dariwang
yang dikutip sambil berkata : “ini untukmu ( bahagian untuk Islam) dan ini
untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka
Baginda sambil bersabda :“ Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu
atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul
(layak mendapat hadiah)” ( Al-Bukhari & Muslim )
|
|
Sebagai ringkasan, wang hadiah kepada
pegawai boleh dikira sebagai pengkhianatan (tidak halal) dalam keadaan
berikut :-
1) Diberikan kepada hakim khas
memastikannya menang dalam kes mahkamahnya yang ia sepatutnya kalah. Samada
dibuat untuk menyelamatkan diri atau menyalahkan seseorang yang tidak
bersalah.
2) Diberikan kepada pegawai berkuasa
bagi melepaskan diri dalam hal ketika di dapati bersalah.
3) Diberikan kepada pegawai berkuasa
(samada diletakkan atas nama komisyen atau hadiah) bagi mendapatkan tender
kontrak untuknya. Haram ke atas si pemberi dan si penerima.
4) Diberikan kepada pegawai berkuasa
untuk mempercepatkan urusannya dan menangguhkan urusan orang lain yang
sepatutnya mendapat giliran lebih awal.
5) Menggunakan kuasanya (yang
diberikan oleh syarikat) untuk memberikan sesuatu kontrak/tender kepada orang
tertentu dengan syarat “upah khas” atau dinamakan “komisyen” diberikan
kepadanya oleh pembida.
|
|
Bagaimanapun Dr. Syeikh Yusof
Al-Qaradawi mengatakan, terdapat beberapa pengecualian seperti “Barangsiapa
yang kehilangan haknya, namun tidak mungkin mendapatkannya kembali kecuali
dengan jalan menyogok, atau akan berlaku kezaliman ke atasnya kecuali
terpaksa memberi suapan wang, walaupun demikian, adalah lebih utama untuknya
bersabar, jika tiada pilihan kecuali dengan menyogok wang, ketika itu yang
berdosa adalah penerima sogokkan sahaja” (Naylul Awtar, 8/622 ; Al-Halal Wal
Haram Fil Islam, hlm 301) Keadaan di atas berdasarkan hadith Riwayat Abu Ya’la
dan Ahmad.
|
Berkenaan soalan di atas, maklumat
yang diberikan tidak mencukupi untuk saya memberikan pandangan yang tepat,
sememangnya sekali pandang kes di atas kelihatan tiada cacatnya kerana tugas
telah selesai, diberikan dengan ikhlas (tetapi ikhlas hanya si pemberi yang
mengetahuinya) dan khas untuk anak-anak yang dikenalinya. Bagaimanapun,
sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam As-Syawkani sebelum ini, ingin saya
ingatkan bahawa jika pemberian itu boleh diungkit pada masa akan datang bagi
memperolehi sesuatu manfaat di kemudian hari untuk si pemberi. Eloklah dijauhkan penerimaan itu dan cukuplah gaji yang kita perolehi dari majikan
untuk membuat tugasan itu dengan cekap, ganjaran selebihnya diserahkan kepada
Allah membalasnya.
Kesimpulannya, bagi saya pemberian
itu tetap syubhat kerana tiada siapa akan memberinya kepada kita tanpa jawatan
dan tugas yang kita buat tadi dan satu lagi, ia juga memang tugasan kita yang
terdapat dalam senarai tugasan rasmi, berlainan jika tugas itu tidak termasuk
dalam senarai tugasan rasmi kita, seperti upah dan saguhati diberikan oleh
orang luar setelah kita lakukan tugasan di luar senarai tugas rasmi di
syarikat/ organisasi, tatkala itu, pendapatan hadiah itu adalah halal.
Wallahu’alam.
Sekian
|
|
|
|
No comments:
Post a Comment